Posts

Showing posts from May, 2008

Kumpulan Puisi Sinar Sirna

Image
Buku ini merupakan sebuah kumpulan puisi saya yang terhasil sejak tahun 1988 sehingga tahun 2005. Sejumlah 165 buah puisi, kompilasi puisi-puisi pelbagai tema, rentak dan makna, berhubung alam, dunia diri, atmofera batin; berkaitan keagamaan, sosial dan politik. Tidak mudah melalui denai waktu yang panjang walaupun terasa singkat namun menyelesaikan sebahagian tugas seorang penyair telah membina jambatan yang tirus menghubungkan pelbagai dimensi dunia, zahir dan batin. Ada kalanya gugur kecundang, namun bingkas, bangun semula untuk meneruskan perjalanan, berjuang menanggapi kehidupan yang penuh rahsia. Tabir takdir bukanlah suatu tugas tetapi apabila berusaha mendekatinya bererti jalan yang panjang itu semakin mengakrabi kebenaran yang dicari tanpa henti. Semakin jauh melangkah dan melangkah, perjalanan semakin tidak perpenghujung, tanpa noktah.

Lebur yang Abadi

Mencari cahaya-Mu dan kutemui perjalanan fanaku mengkabus menjadi haus yang rindu menebar ke seluruh alamku di alam-Mu menyatu wajah-wajah haru di pangkal waras akal yang malu Dan di rumahku ini hanya memahami lebur yang abadi. Tanjung Aru Kota Kinabalu 23 Ramadan 1423

Sajak Cinta Bulan Mei

Kurasai sejuk bara di dada yang memakna tamsil embun yang mentaakul segar dedaun Tak mungkin ada jarak hanya menjadi pisau yang menikam Sendu mencari wajah mencari diri di celah ingatan yang mesra Ketika tak kau menjelma tak ada suara menyapa risik bayu kembalikan setia Tersimpul di dada itu, rindu ketika kau tiada dalam ada ketika kau ada dalam tiada Samar-samar kusimpan kuhadirkan ucapkata kutimba gelora Masih kubetah memelihara warna hijau cinta wangi kelopak kasih Jika inilah bingkai yang kudekapkan di dinding rasa sampaikanlah sapaanmu Berjalan di sepanjang pantai menyatu badai ke asalnya meski badai itulah penyempurna. Kota Kinabalu 1 Mei 2004

Akar

Katakanlah mereka berkata: akarmu menjalar memperdaya akal jangan relakan terbinanya jurang meruangi sulit sangka merobek-robek jantung cinta biarlah mereka berkata apa saja asal akarmu tahu di mana liku-likunya sambil memahami teguhnya pohon dialami bermacam ragam musim, dengarlah mereka berkata yang didengar jangan hanya dusta yang diucapkan jangan cuma kata-kata mengapa tak bertanya: siapakah penghalang keutuhan akarmu? Berilah ruang kata-kata menyantuni maknanya mata batin mentafsir kebijaksanaan menterjemahkan sekian rasa menjelaskan peribadi sasa, katakanlah apa saja kerana kata-kata adalah suara yang tak pernah beku dan tak mungkin pasti dipercayai, kata-kata adalah suara yang menghantar akal ke daerah sejarahnya menyaringkan manis dari cairan hempedu, katakanlah mereka tahu bersuara lihatlah pada nilai dan maknanya tahu di manakah pokok dan di manakah akarnya di situlah berdirinya akal mencekalkan pengertian biarlah mereka berkata kagumilah wajahmu di atas cermin sendiri. Ikata

Diaspora Cinta Hasyuda

Alangkah saujana menginsafi agung cinta lebur peribadi hanya keranamu pasrah dan menyerah seluruh kalbu keranamu kau berikan indah yang tak dapat dibayangkan kau berikan bahagia yang tak dapat bercerita Kerana menyatu kelembutanmu di dalam syahdu membauri rindu tawa dan gelisah duka dalam peristiwa hingga akhirnya kumemahami jiwa mengaromai peribadi sejarah masa lalu yang kaupunyai yang tak mudah dimengerti hanya dengan percaya Tak kukeliru ketika berada dalam kamarmu segala pintu, jendela, dinding bahkan kelambu dan apa saja saling menyapa biasa begitu bahasa saujana di manapun ketika berada tak ada tiada mendiasporakan cinta. Sembulan - Putatan 18 Oktober 2001

Sinar Sirna

memandangmu berlalu setiap kuhela nafas tanpa suara menyapa menjadi biasa seperti kapal-kapal yang belayar di hadapan pelabuhan, tak mungkin terjadi sesuatu yang dirasakan kini jauh di belakang, tak terjadi juga untuk kembali ke sana negeri kenangan, diam di sini memandang lampu hayat yang akan tiba saat berangkat diam damai dalam pelayaran jauh di lautan abadi lampu itu bersinar sirna. Pustaka Iqbal Nazim, Kota Kinabalu.

Inginkan Kenangan

Malas mengemaskini liku kisah jam berlalu menyembunyikannya di balik langsir lusuh yang belum tentu memulangkan yang berlalu jam bergerak sendiri meski rajin di kamar kini menjadi dingin dan sunyi Sering terjadi pengalaman tak terduga tiba-tiba inginkan kenangan di luar kebiasaan

Di atas Lorong yang Terpandu

Kami bercerita tanpa apa apa kedengaran melihat jelita yang jernih bertandangan membuka jalan jalan malam yang lumrah juga pintu pintu yang sesekali terbuka ada jambatan menghubung dunia dunia berbeza ada lautan yang terbiar ada langit yang hening ada udara yang tercalar Kami di daerah yang kusam menjahit liku luka yang bungkam di atas lorong yang terpandu kelam yang jernih liku yang membumi hening yang mempesona

Yang Hanya Kata dan Maknanya

yang hanya kata dan maknanya, aksara yang diam dalam letih apakah utuhnya seperti ungkapan-ungkapan yang teruji zaman? Memandang bisu cermin tetap terpantul wajah yang sama dan dunianya yang serupa seperti juga dinding-dinding yang menyapa dalam sepinya dan ungkapan bagaimanakah selain mengulangi bahasa sunyi? kucari dirimu dalam makna yang rahsia

Hening Muhasabah

hening memandang cahaya yang membawa hala benar membawa khabar baik kepada insan dari segala aksara yang bermakna sayangnya insan itu kerdil sering didakap alpa, dibuai cuai disanjung takluk hati yang mati, kini memandang bagai belukar atau pohon tua jauh di belantara bukan sebuah kota yang pernah membesarkan kerdil mendewasakan usia yang meletak aksara, garis lukis bahkan tegur tegar di medium akal meletak ukir fikir bagai khazanah bangsa kini terkasima dalam harap pulang mengalun hening muhasabah kembali menulis makna sarat hayat

Siluet Laut

Angkasa itu juga mendengar nazamnya sapa yang tak terbongkar ragam bungkam yang kesasar halkum dihijab jilbab dibius bisu berbalam dibawa awan sore bagai berarak meliputi damai bulan yang lena dibuai aksara gelap di anjung suara kian bersauh jauh dipacu hening ke dasar halkum lautmenelan degup

Dunia Luka

Luka itu tak akan memberimu isyarat bilakah ia bersuara melainkan nikmat cuma ketika diam membuka takjub hening Kau hanya memandang riang burung waktu pagi entah apakah pulangnya seperti saat itu Perjalanan ini terlalu biasa untuk diuji awalnya sehingga kau mengenal bila bulan mengambang dan mentari dilitupi mendung Kita adalah dunia kecil tak mungkin terbanding dunia di dalam diri yang selalu menguja hanya Dialah yang lebih sempurna

Sinar Sirna

Memandangmu berlalu setiap kuhela nafas tanpa suara menyapa menjadi biasa seperti kapal-kapal yang belayar di hadapan pelabuhan, tak mungkin terjadi sesuatu yang dirasakan kini jauh di belakang, tak terjadi juga untuk kembali ke sana negeri kenangan, diam di sini memandang lampu hayat yang akan tiba saat berangkat diam damai dalam pelayaran jauh di lautan abadi lampu itu bersinar sirna

Tentang Kesilapan

memikirkan tentang kesilapan sering berulang tibanya jawapan yang tidak menjanjikan apa-apa malang itu gelisah yang mengakar di belukar samar semakin sukar menyembunyikan kabar, hanya teguh merahsiakan damai suria keagungan rasa yang lebur, padu dibawa ke ufuk danau yang menjarak

Bius Bisu

Bungkam bersuara tapi adakah yang mendengarnya? Bumi diam seketika ada riuh sukma menyapa bersenandung di puncak sunyi menyaksikan sayap jelita melintasi angkasa melankolis hiba. Tak ada peristiwa mahupun elegi perjalanan terhenti. Sekadar berita jalur warna mencari ketiadaannya. Dibius bisu

Sajak Anak-anak Belantara

Mereka mengerti susah payah mengakar berzaman purba nenek datuk setebal laman alamnya hafal tak sedikit bahasa dan makna deru angin, dingin hujan dan terik mentari belantara itu dunia tanpa peduli globalisasi belantara itu katamu muzika mergastua kicau burung yang pergi dan pulang waktu petang segalanya bersahut, bersentuh dan bersatu di bawah bumbung yang satu semampunya seluruh zuriat yang membesar membiak, mewarnai belantara kehidupan tanpa kenangan Mereka harus terus bernafas berhadapan dunia yang sempadannya kertas dan cip menyimpan identiti diri bangsanya, agamanya kampung halamannya di belantara sana yang memandang khuatir tentang segulung kertas dan cip yang membenarkan mereka berjalan di dunia lain sebebasnya Mengisi warna kemerdekaan mereka kurang mengerti tentang dunia tanpa sempadan kampung kabilah atau dasar langit terbuka mereka kurang memahami tentang ledakan teknologi maklumat ketika kita tekun berbicara secara maya apa lagi mengetahui MSC pusar bestari yang diagungi ja

Menerima Masa Lalu

Lebarkan senyapmu daripada menjadi lahar yang muntah dan meliar, menjalar ke seluruh akar luahan kalbu yang haru dan pilu. Kau kejar bayang-bayang gentar yang memudar segar hujah memugar ladang amarah. Kau memandang saujana menjadi semakin tiada apabila sinar sirna. Apabila cahaya maya. Apabila segalanya membeku yang menyatu pada batu akal yang tak kenal cekal mencurah cemas di belukar gusar. Sambil degil menerima masa lalu seadanya sebagai warung menjaja bohong. Kau terima bayang-bayang yang tak pernah kelihatan tapi merasakan itulah kesungguhan dan kebenaran

Sarat Gelora

Biar terkunci dalam sunyi di makam bungkam. Tak perlu keliru memandang senyap yang lenyap antara riuh kibasan sayap terbang ke langit gelap. Biar tersimpan dalam rawan di lahad jasad. Tak ada hujah menyatu dalam sekam yang suram antara tiada yang bakal tiba. Biar terungkai dalam badai di sukma rahsia. Tak usah resah merawat riwayat yang sarat gelora diulit sulit lara dan kata-kata tanpa suara

Kupu-Kupu

Bahkan warna bukan pilihan yang pertama atau saraf wangian yang menyampaikan khabar. Tak mungkin terjadi lagi musim bunga seperti biasa. Taman ini sepi bagai vakum tak menakung apa-apa jua suara. Ke manakah arahmu saat tumbuhan tak lagi memahami sapaan?

Bahtera

Bahtera ini akan membawamu ke saujana samudera inilah pesan insan kata-kata yang kau simpan ketika akan hampir di puncak destinasi sejarah menempiaskan segala kejahilan lawan. Hitam putih kehidupan bagaimana memamahnya sanggup menyatakan per se wajar sambil kau memuarakan sukma mengembalikan kegemilangan empayar. Waktu merasa benar mungkinkah tidak kesasar lupakan masa lalu luapan ingatan yang membeku berjalan atas landas waras berpandu dasar atau cita-cita di mercu yang tertinggal dulu. Bahtera ini, katamu, beralas pesan bapa dan ibu mereka itu masa lampau kini pewaris mengambil alih meneraju hala dan tuju lebih sasa bingkas berlapikkan hipotesis moralis. Sebuah masa depan atau sebuah impian awasi akal dan fikiran biar wajar dan berpedoman dari juak para domba dan serigala kehilangan kerana bahtera ini akan berlayar jauh ke hadapan

Mak Luncai Terbang dengan Layang-Layangnya

Biarkan. Biarkan. Biarkan. Kata mereka. Biarkan Mak Luncai terbang dengan layang-layangnya. Kembara ke seluruh angkasa raya. Terbang bersama layang-layangnya hingga tak ada ruang menerawang pandang dan kibasan sayapnya. Biarkan. Biarkan. Biarkan. Ujar mereka. Biarkan Mak Luncai terbang dengan layang-layangnya. Menyalur khabar pintarnya. Terbang bersama layang-layangnya sampai tak ada suara di halkumnya tumpas tanpa puncak kata-katanya Biarkan. Biarkan. Biarkan. Bisik mereka. Biarkan Mak Luncai terbang dengan layang-layangnya. Mencabar sabar bongkaknya. Terbang bersama layang-layangnya waktu tak ada lorong memborong iri tempias ke wajah kerasnya Biarkan. Biarkan. Biarkan. Sorak mereka. Biarkan Mak Luncai terbang dengan layang-layangnya. Mendabik dada tak siapa bersuara. Terbang bersama layang-layangnya ketika tak ada peluang pulang mengupas gelombang dalam warasnya. Biarkan. Biarkan. Biarkan. Biarkan Mak Luncai terbang dengan layang-layangnya yang telah terputus talinya di tengah angkas

Dinding

Segalanya rahsia. Dipisahkan oleh dinding yang saling merakam pandangan, bagai cermin yang menelan. Di perut kaca itu ada silau cahaya di celah dinding memperlihatkan mimpi. Ada pintu yang tak terkunci tapi tak siapa sedia menyentuhnya meskipun aku. Sapaan yang terkurung antara dinding hanya diam yang tak henti bernazam. Kerana segalanya tetap rahsia

Bisu Cermin

Di hadapanku. Bisu. Tapi ada aksara yang menikam di belakang. Menyedarinya, kupulangkan kepada cermin.Yang tetap bisu. Memandang segalanya tapi tidak padaliar diekori ego, baran diberi tafsir, geger diujar hujah. Tak adau ntuk luka dan bersuara tanpa batas waras. Cermin memulangkan semuanya tanpa langsir. Bisu itu memburu

Bungkam Makam

Suaraku sirna dari pandangan yang sering kau dengar. Menyapa dari jendela hanya keheningan yang melebarkan titik rahsia. Bungkam yang menyatukan segala keriuhan masa lalu menjadi purba diri diziarahi tanpa kitab. Kecuali catatan yang menghasilkan nestapa. Kuterima khabarmu dengan balas sapa sirna makna. Hanya sunyi dan bungkam makam.

Menggambar Sunyi

Benar. Kau hanya memandang pada cermin diri merakam segala rahsia sengsara. Menikmati saljunya yang sering berpuncak tanpa sifat. Merasai akrab itu lebur. Mengarcakan iramanya pada saraf cahaya tertumpu di kalbu. Tak pernah kikis dilipat malam-malam yang menyembunyikan. Tak pernah tak ada bunyi berkampung dalam halkum menghantarnya ke samudera suara

Memberikan Pandangan

Sering kau memandang warna yang wajar tapi belum juga cahaya yang benar bukan juga noktah dari pelbagai hujah menguji citra yang tampak halanya ke mana. Pandangan yang terbias dari kebiasaan tak mungkin sulit kerana keterbukaan meski akur bertafakur kerana kehilangan tanda perjuangan. Apakah pandangan selesai ketika selesa menikmati jeritan sukma? Atau kau telah menemukan suatu wajah yang bukan lagi bayangan kejujuran.

Abadi yang Lebur

Biar bulan bicara sendiri. Dan ada yang mendengarnya dalam dekam malam. Biarlah cahayanya tumpah pada segala hala, kerana yang indah tiada, selain tumpah cahaya Cinta Abadi. Meski payah difahami. Indah cahaya-Nya memberi suluh jalan yang berliku. Malam menyeberangkan cahaya. Meski pekat kelam, benar, aksara alam tahu rahsia makna yang sewaktu bersapa. Menggamit dan tak pernah pamit, tak mungkin dipandang tapi dinikmati dalam bahagia. Meski tak ada suara, padu tersemat dalam kalbu. Meski juga sunyi, yang harus diriwayati dan dipunyai.

Mengunyah Jadam

(ummi) Perih pedihmu mengunyah jadam kehidupan tega meriwayat hayat segala rasa air mata, riak ria, olah tingkah rahsia cinta suaramu yang bertengkar lebur di kalbu kerap lambaimu memaknakan akad melewati dekad yang meramahkan amanah yang musimnya sering berubah Kutoleh kembali saat rawanmu memulangkan purba kenangan diulit sulit keegoan yang mengakar tapi saat redhamu meyakini qada dan qadar di pembaringan lemahmu tetap mengucapkan setia dan sabar Rumah kita sentiasa memberikan warna nikmat jadam yang mengakar matang kehidupan suara yang bersembunyi diuji cabaran dan dugaan dengarlah suara itu, ummi, rama-rama menyapa wangi bunga-bunga aku pulang memulangkan kepercayaan membebat duka dan perih pedihmu yang tak bersudahan Tuhan lebih mendengar bicara sunyi dan diam ketika rafakmu menyampaikan khusyuk doa dan air mata yang sering tumpah kuberikan daya kasih agar segarmu pulih di sisimu harapan seorang suami dan anak-anak yang membesar ketika dayamu hanya suara dan pandangan perhatian da

10 Muharam

Pintu malamku diketuk. Aku sedar dari belukar sukar. Bangkit saat itu dan membuka tabir cahaya. Aku mendengar suara: Musa telah diselamatkan Allah dari angkuh Firaun. Berulang datang di gegendang dengar. Aku memandang ke dalam lipatan peristiwa. 10 Muharram: Musa, Firaun dan bani Israil dan cahaya yang benar

Bungkam Istikharah

Tak ada yang abadi yang difahami saat memilih dalam bungkam istikharah di halkum malam, jadual hanya detik yang dicatatkan dalam masa yang dipilih meski masih juga tidak tegap menegak sikap malah detik juga sering bersilang berlalu dan ditunggu antara insan dan ehsan atau kasih dan kasihan kembali di petaknya untuk menyatakan pilihan. Bungkam. Kelam. Diam... Sebaiknya diam menjadi dian yang berkembang dalam kata-kata yang membisu makna atau menjadi sayap yang saujana tanpa batas mewaras jelas yang kelihatan tiada meski ada. Berikanku bisu, katamu sambil haruku membelah lautan dan membenamkannya

Di Sini Kuala Lumpur

(anak-anak: zierah, yazin dan fierah) Tiada anak-anakku, kecuali nafas akrab yang mengejap tegap. Ayah membaca setiap tanda yang lahir dari mata atau akal dalam makna tingkahnya. Ayah kembara memelihara tega dengan langkah gagah, membelai manja muda kalian memahami ayah yang cekal menghayati tawakalnya

Memandang Jernih

Hanya memandang suara yang tiada dan suatu persahabatan yang pernah menyapa dulu kini di mana fananya Sering datang percakapan yang membawa kembali kepada diri kerana ia lebih memahami tentang pisau yang melakukan irisan-irisan kalbu, kudengar bunyinya! Saat ini mungkin duniaku lain tapi sentiasa kudengar alun kata dan rasa sayup dalam elegi yang tak usai digapai Kupandang jernih di dalamnya dalam tangis tanpa air mata di tengah sunyi yang menusuk Bagai belati melati menyiat-nyiat diri meski segalanya tetap mandiri.

Bunyi Bulan

Cahaya bulan sepatutnya tumpah dan hanya melihat suaranyadi tengah awan yang jatuh menjadi sesuatu yang hening Waktu mendengar bunyi yang disimpan di dalam halkum bungkam ada aksara yang menyatu diam-diam menjadi dian memberi salam cahaya bulan yang kurang berkembang, di manakah bunyi itu bersembunyi saat mula mengerti aromayang mulai bersuara adalah ketiadaan yang sering ada Diam-diam kuintai senyummu tapi hanya saat ini juga bunyimu belum ditemui, apakah kembali? Sebentar lagi seperti sejarah yang tertulis maka baik dibaca peristiwa itu sebelum terjadi catatan yang tersesat di belukar malam benar, sebentar lagi akan terjadi peristiwa yang tidak dilupakan.

Ketika Ingin Berkata

Apakah yang akan kedengaran sehabis melepas puas hafalan maksud setiap aksara yang bertaut? ya, kau tak akan mendengar apa-apa tetapi suatu keheningan mengetuk dinding fikir selepas itu, mulai mual membenarkan makna bahasa risau dalam lapisan tanggap dan sangka Pandanglah wajah dari ribuan pengalaman yang membentuk peribadi mendekam sesalan yang tak pernah dihiraukan memandang tenang segala aksara berlalu dan mungkin kembali membentuk makna yang sama pada ketika tidak pernah berubah Aksara ini wewangnya dibentuk dan dilafazkan: m a a f dan kau mula berjalan ke arah yang tidak berbeza ketika ingin berkata.

Dalam Ruang Bungkam

Sering juga pertanyaan datang dari bungkam diam, katarsis mendakap segala dan hanya kudengar desir fantasi dalam lamun panjang. Kupulangkan segala malamku kepadamu, bulan, sambil tetap kumendengarkan bunyimu dini waktu ini.

Tsunami, Bukan Hanya Nama

Dengan apakah harus menundanya bila berakhir rawan pun lahir muram mencatatkan derita daratan kenangan berulit sulit trauma berbunga berzaman. Pertemuan ini hebat perkenalan yang mengajar tenat yang mencabar gegar yang mencalar damai pantai melupakan gelombang kecil yang sering bermain di giginya menjadi lorong ajaib sebuah perjalanan yang teruja. Demikian kias alami dalam kelam lorong cahaya mendorong makna kemulusan diri tsunami hanya gelombang kecil dari seluruh gelombang keagungan-Nya titiknya dalam cermin pandang peristiwa demi peristiwa menguji alpa tsunami bukan hanya nama tapi gelombang ini melebar andatila diri mengakar ukhuwah tidak juga hanya sejarah tapi lorong untuk kembali pasrah Ikatan Penulis Sabah 6 Januari 2005

Merindu Pantai

- Rizal Shahputra di Lautan Hindi Kuingin merindu pantai kupandang kerdipan bintang-bintang tapi kupandang kelam bau asin lautan dan lapar yang menelanku seluruhnya kuserah jiwa. Kuingin merindu pantai di mana kampung halaman ranap tak bersisa harap di mana bonda dan ayahanda bergadai keutuhan di dada badai di mana kakak dan adinda tak berpunca berpaut pada maut di mana teman-teman gugur tak sempat berjabat sahabat di manakah mereka dikafankan, dimanakah mereka ditalkinkan? Kuingin merindu pantai dari pandangan yang berbeza dari rafak doa yang seirama dari alur trauma yang serupa. Kota Kinabalu 5 Januari 2005

Mawar

Memandang mawar bagaimana jika kulihat warnanya bukan baunya Meramas mawar bagaimana jika kuriba durinya bukan utuh tangkainya Menikmati mawar bagaimana jika kutemui lebur angan bukan indah panorama gambaran semata-mata Di hadapanku hanya mawar yang dilingkar cahaya berakar di kalbu Bungkam angan menyatu bayu

Bagaimana Kaufahami Tentang Wujud

Lebur memaknakan punca cinta tidak ada di matamu nafikanlah wujudnya dalam wujud zahir sambil di hadapan tidak ada selain gambar-gambar yang mendebu, datang dan mengabu seakan deritalah yang melengkapkan nafas Pertanyaan perlu begini ketika mengerti pencarian cara waras memperaku wujudnya bergelombang di laut maya ungkap rahsia hanyut di perut angan, biar sesekali berang bak tombak maha seni memberi erti aksara yang disusun ayu, dimaknakan manis dan membahagia, demikiankah yakinmu? Jalanmu akhirnya ingin sekali ke belakang, siapakah lagi berani bertanya dan mendengar kedegilan jawapan? Kau hampir tidak mempercayai wujudnya amat biasa menjelma dan menghilang sambil kau bukan sesiapa bukan juga dimiliki sesiapa, kau dengarkah pertanyaan ini?

Kalau Bukau Ucapan

- mawar ulang tahun Kalau bukan ucapan yang diungkap, katakan saja aksara rahsia yang tak mungkin usai dilunturi usia yang semakin tiada tinggal kecuali warna kehidupan - mungkin kenangan - kalau bukan begitu nyala ingat pada lembar hari yang sekejap lagi pergi bak debu menyapa kalau bukan ucapan yang bersayap di halkum senyap meski terhimpun abjad-abjad yang difahami entah masihkah yang bertebaran di pantai dapat dikutip bersama pasir - aroma kenangan - nafiri diam juga menjadikan bahasa santun mengakrabi insan. Kalau bukan ucapan ini hanyalah sukma susunan irama aksara yang bisu, ketika mengingati usia yang menghilang dan yang datang tetap juga keinsafan, simpanlah penghargaan ini di siling langit yang nyaman diselaputi udara dan awan yang berarak. Kalau bukan ucapan terimalah salam tahun yang berulang dan usia di persada pematangan. Kota Kinabalu 19 September 2003

Nawaitu

Ingin dilihat besar kerana manusia ingin dilihat kecil kerana Allah Buat baik semata-mata kerana Allah niatkan salawat ini kerana Allah Merekapun datang berbodong-bodong bersalawat beramai-ramai Lelaki dan wanita bersentuh bahu bersalawat memenuhkan padang Mereka berkata, kami datang meramaikan niat kami mengenang hijrah nabi Namun hairan mereka ketika sampai waktunya diangkakan bilangan ke sekian Diberi senyum kerana mencapai rekod kehadiran hingga habis salawat mereka berkeliaran Padang ini sepi mengharap redha dan restu Ilahi. Kota Kinabalu 13 Mac 2002

Ziarah Ulang Tahun

(Datuk Haji Shuhaibun Yussuf - Budayawan Sabah) Barangkali kerana anda kerap menyebut nama kami ke dangau budayamu menggamit hati rindu ini lain ketika ziarah terakhir di hari ulang tahunmu, ayahanda Anda tetap riang keakraban begini sentiasa merakam kenangan tak mudah diterjemah seadanya anda tak juga pernah sunyi dari riuh isteri yang mengerti dan anak-anak yang menyayangi Dangau budaya ini rumahmu mesti riak yang ria ada duka bersembunyi tak sesiapa memahami sambil ketika kepada kami anda pun bercerita meranum seni Tidak mengapa biar inilah rumah syurgaku aku bahagia bersama seorang hawa yang mendiami derita dan suka aku bahagia dengan biaya pencen kuterima rezeki sayembara dari pihak berkuasa Katamu, aku hanya insan biasa bakatku barangkali inilah satu-satunya antara budayawan negara disaingi dalam pancaran buta dikenangi seadanya memperbodoh langkahku yang tua Anda diam di dangau budaya ini mengeram rakaman fikrah menghayatkan kreatif citra keh

Berhadapan dengan Pembohong

Ketika berkata tak pernah berbohong bagaimana malang selalu juga datang berbodong bertambah baik manis berbasa basi wajah cahaya bulan penuh hati kelam berbalam Rupanya tidak selalu berdusta itu bermakna tidak pernah berbohong dari diri, percayalah siapakah berani berdiri di pentas berkata: aku ini bersih Jangan ucapkan bohong tidak benar ketika bicara semborono di atas kertas katamu terserah, kerana bohong tak mungkin memilih seorang pendengar yang jujur Bagaimana berhadapan dengan pembohong ketika kita juga masih berbohong untuk mendengar tiap kata sekadar merawat hati hingga nanti bertambah tambah bohongnya Dan menjadikan lali bertanya atau berkata seorang pembohong selalu sombong berkata benar walaupun harus dibayar dengan ejekan yang mencabar

Kartun

Entah di mana lagi disorok gelagat buruk ini katamu, pada malam yang suram dengan apa kututup wajah hodohku katamu lagi, sambil menyelesaikan senarai angka yang tak terselesai mencongak nilai bahasa puas Tak mungkin ada ketawa untukku katamu, ini bukan watak kartun semua orang bisa ketawa tapi aku hampir terbunuh, katamu sekali belari sekencangnya hingga di muara laut menukar baju yang lusuh Hingga semakin hampa kau sebenarnya semakin papa kedana mengusap-usap dada mengucap astagfirullah mengenang dosa-dosa memandang lakonan demi lakonan yang diilhamkan berahi memanjang karakatur kartun yang seenaknya menghias cermin fakir fikirmu.

Memerdekakan Empayar Peribadi

Aku tahu bagaimana akhirnya kau tahu aku tahu juga bagaimana akhirnya kau tahu tapi masih tak mengerti bagaimana tahumu menjadikan kau seorang diktator kepada peribadi bermimpi Sesiapapun punya mimpi aku tahu bagaimana mimpi-mimpimu itu aku tahu juga bagaimana mimpi-mimpinmu itu hanya mainan kala senja memberikanmu hanya debu Apakah ada kemerdekaan untuk penjajahan itu? ketika kau bertanya dalam bahasa bayang-bayangmu tapi aku tahu kau tak akan bertanya begitu ketika kau tahu di hadapanmu hanyalah hayalan melulu Jangan serahkan apapun tanda dari empayar peribadi yang telah terjajah lama oleh segala helah rasa yang kau tahu kau tak mahu memperaku kebatilan dalam rahsia kebenaran bermuslihatmu itu!

Menjelang Hijrah

Peristiwa hijrah Nabi s.a.w diperistiwakan peristiwa itu setiap tahun diperistiwakan dalam pelbagai peristiwa mencerna menjadi fikrah zahir dan bersembunyi Insan hijrah dinobatkan menjadi cermin keperibadian namun masih juga Nabi s.a.w. cermin yang kekal memperibadikan umatnya keikhlasan hijrahnya Memandang hijrah dari dalam diri juga perlu diubah jika dipandang di hadapan gimik kehidupan perbetulkan hijrah ini hanya keikhlasan sebelum membaca doa pembuka segala perjalanan

Bacakan Perang Itu

Bacakan perang itu, kataku kepada cucu-cucuku itu kisah pra abad 21 yang ditulis semula tanpa lupa perang-perang dunia sebelumnya Aku mendengar saja dengan perhatian perang demi perang tak mungkin lupa jihad umat Muhammad sebelum dan sesudahnya Cucu-cucuku juga terus menulis tentang perang-perang untuk mereka sambil membongkar pustaka yang kubangunkan di sisiku pc usang yang sarat virus yang bersembunyi Kisahkan perang itu kataku tak henti aku masih mahu mendengar masa cucu-cucuku mengusung ke wad lazimku darah tinggi kencing manis jantung pekak tapi semangatku tetap berperang di medannya sendiri

Tak Gemar Ini Tak Suka

Rakan tak gemar ini tak suka hidanglah apa juga nasi kehidupan sambil menghirup sup mimpi panjang perjalanan fikiran tapi kontang tong fikir Rakan tak suka ini tak gemar dengarkanlah apa juga selaut ilmu buntu bahkan terpaksa diasinkan natijah busuk bukan kepalang mungkin enak untuk musim perang atau duduk di tepi kali mengail bosan Tak suka atau tak gemar dengar dulu bicara begini sambil berdiri di atas runcing makna pedang ada dalam mulut kalbu jangan tutup jendela itu, fikir adalah rumah untuk duduk melihat kebenaran diri atau suara hati untuk insan yang ingin memahami jangan buka pintu dan membiarkan fikir buntu berlalu meninggalkan begitu menghukum akalmu

Sunyi Kebodohan Itu

Jangan ulangi kesilapan tiba-tiba merasai getar aku mendengar sunyi memberi warna bodohnya harus hilang nanar bila dibilang kesasar ilmu yang tertuang di medan kosong kontang menjelajahkan jemu menggambarkan haru biru fikir Mungkin pulang dulu duduk bertasawwur menelaahi bilah hari bahasa dan abjad membina mauduk untuk diukir zahir dan fikir apakah masih berpaling telagah kerana saling dijeling luka Sunyi warna kebodohan harus diriuhi kebenaran yang bukan malang berpanjangan!

Melayu Mudah Dilupa

Melayu itu antik jadi pameran di negeri cantik yang antik itu jadi pameran semata lalu disebut Melayu mudah dilupa Melayu tak pandai bernafas tak ada saluran pernafasan manusia Melayunya manusia Melayunyalah yang lupa bukan Melayu! Antik Melayu disebut cantik tapi mudah dilupa kerana manusia Melayunya pelupa iaitu yang selalu menyebut lupa melayukan Melayu di bumi Melayu Melayu tak pernah lupa layu Melayu lupa Melayu gigit Melayu layu Melayu telan layu Melayu malu kelu Melayu melayu palu Gendang tak disambut bunyi gema sumbang di rumah sendiri!

Sajak Orang-orang Gendut

Orang-orang gendut di dalam kota menyimpan perut yang kenyang hari ini masih makan di dalam mobil sambil ketawa dan menyimpan angan-angan tentang makan dan makan Orang-orang gendut di dalam desa mencari perut yang lapar duduk di kaki lima menghirup kopi pekat sepiring ubi kayu dan ikan kering senyum sumbing disapa anak-anak muda pulang dari sekolah Orang-orang gendut di dalam kantor tekun di hadapan meja mengukir tadbir menulis kelibat orang bawah sesekali menjeling setiausaha asyik chit chat kekasih siber Orang-orang gendut di luar kamar ketua tak diam setelah boss tiada buka monitor masuk alam maya melayar web demi web kekadang gila mencari sahabat sambil mencuci mata Orang-orang boleh gendut kerana kenyang orang-orang boleh gendut kerana senang orang-orang boleh gendut kerana kepayang orang-orang boleh gendut kerana gilabayang orang-orang boleh gendut kerana hilang pedoman

Diam Itu Uzlah

Tuan, usah bersusah memelihara dukamu, usah berpayah melayari gelombang amarahmu, usaha jelajahi rimba dendam dan bencimu. pada tanjung damaimu hanya pandang sebuah diam uzlah memeriksa semula kesilapan kebenaran akan mewarnai diam yang panjang.

Memandang Kebesaran-Mu

Benarlah Kebenaran-Mu, Kebesaran yang maha benar Besar menghadirkan diam ini di dalam hening kekhusyukan Kami bangun dari segala hening diam ini merapat akrabkan saf-saf menghadap-Mu qiam mengungkap khuduk mengagungi-Mu Malam ini Tuhan, Engkau benar menjadikan kami insan yang sentiasa menyatakan tak ada selain-Mu di bawah langit-Mu kami bukan siapa berdiri di bumi fana ini Malam ini Tuhan, Engkau jadikan maha keajaiban untuk menunaskan keinsafan mendengar ayat-ayat al-Qur'an, ruku' dan sujud mengalirkan air mata cinta dan maaf Masjid al-Janah Kampung Petagas Kota Kinabalu 2000

Yang Dilihat di Tv

Itulah yang terjadi tragedi yang mungkin menjadi mimpi,ngeri Itulah yang terjadi di tanah air yang diam damai,tanpa curiga mencurigai Itulah yang terjadi penyangakpenipupembohong dilaknat Tuhan, penyamarpenirupendusta dilaknat Tuhan! Itulah yang terjadi sudah terjadi barulah menjadi berhati-hati, selepas bebas kini baru tahu bara di dalam Itulah yang terjadiyang kulihat di peti tv, jenayah mudah terjadi di dalam pagar berduri!

Jebat, hanya dikenang

Derhaka jebat hanya kenang-kenangan gugurnya jebat hanya kenang-kenangan Setia tuah hanya kenang-kenangan zalimnya raja hanya kenang-kenangan Jebat tuah rajaderhaka setia zalim hanya kenang-kenangan.

Sebuah Pernyatan Bangga Seorang Pemimpin

(kepada YAB Perdana Menteri) Impian seorang pemimpin disemarakkan makna usaha jitu tak kenal erti lelah dan putus asa membangun api minda melipat ganda cara bekerja sasa menterjemah perjuangan yang tersisa Kami banggai dan menyanjungi arif seorang pemimpin dalam riak wajah yang tak pernah kenal puas pandangan jauh tak berbatas dihadangnya berani digenggamnya yakin diri dan serba boleh ditanamnya kepercayaan bahawa bangsanya boleh berdiri sama tinggi Anda bangkitkan bangsa ke pentas dunia pemimpin kami yang memilih maruah dan martabat tentunya dunia yang mendengki menyerang dalam segala cara halus dan keras menerusi media dan para pementing diri memperguna dan diperguna sedangkan ada pemimpin yang cergas waras mencatur daya juang dan fikir memandang wawasannya menjadi tidak dibauri para petualang politik dan ekonomi Kami sentiasa mendengar ungkapmu pemimpin kami yang berjiwa bangsa ketika kita digeruni serangan ekonomi dan ancaman sang spekulator juga pemfitnah, pemusnah harmoni negeri

Menjaring Rindu

Sekian lama kumeraba-raba memburu rindu mengembara ke seluruh pelusuk ceruk rimba kalbu Apakah yang kucari jika bukan kasih? Kuhimbau kasih sejati Tuhan, jaringan kasih-Mu basah lembab gugur di kalbuku dingin tapi hangat menderu Suatu hari kududuk runduk duduk tunduk menyampaikan lafaz rindu lewat sungai doa yang kualirkan ketika solat di atas sejadah sumur itu qiam dalam diam tahajjud yang kubangunkan mencari redha-Mu ketika kutadah kedua tangan di situ mencerminkan syahdu Adakah tempatku? Sungguh aku tersilau oleh kilau pancaroba dunia ini fana mengapa curiga ketika kugerakkan rasa mendepani goda dan aneka warna? Sungguh aku tersentuh ini waktuku mendalami perjalanan singgah di pelabuhan membangkitkan takbir dalam zikir membangunkan tasbih dalam zikir menghidupkan tahmid dalam zikir dalam zikir rindu semakin zahir Tuhan, hayatkan minda untuk mensyukuri nikmat-Mu suaraku menyanyikan lagu kalam-Mu Al-Quran kujunjung menyuluh liku jalanku

Dekat Padamu

Cahaya yang menghampar lautan dalam bunyi yang sunyi memelihara wajah di atas cermin bijaksana membistari yakin menjadikan peristiwa sejarah yang bernyawa bukan lagi luka leka yang dipelajari lumrah arah melangkah ke muara asmaraloka Dekat padamu – ini takluk aroma mahabbah bersulam salam persahabatan paling akrab menghimpun seluruh angan yang berlalu bahkan yang bertandang di laman cahaya menyatu dalam peribadi diri menghakkanmu terjemahan bunyi memperindah ujana kalbu mewajah citra cinta asyik ranum makna

Suara

Memang tak ada juara meskipun berulang menyatakan keupayaan. keputusan tak bermakna lagi saat ini. barangkali belum terlambat bertolak memulakan perayaan duka

Rindu

Tak pernah menyata dalam sedar tapi nyawanya hidup dirasai debar dan getar melebar makna satu pada jelma pandang yang tiada. apakah kitab selesai lebur atau menjadi mimpi-mimpi yang tidak usai?

Kamar Sukma

Semua pintu telah tercipta aku masuk tanpa suara dan kau dakap dalam makna kesungguhan. kau udara yang beradu di dalamku yang bersuara bersama tanpa kata

Hari

Inilah makna yang kuyakini nafas melanjut denyut menjelma meniadakan wajah meski tetap sama kecuali usia. kumulakan kehidupan seperti biasa dan berjalan di bumi Tuhan

‘Ain

Aku tidak memandangmu kerana kau tidak memandangku kita tidak memandang apa-apa di dasar diri kita memilikinya tapi tidak di sini melainkan tasik ‘ain di dalam batin

Di Dahi Nazim

Aku diam di lidahmu, fakirku hanya memandang lautan memang masih mencari di pantai selain pasir, serpihan karang atau siput, fikirku pulang di sisi kampung halaman ziarah hutan belantara kenangan Aku lena di nafasmu, cuba kusalin warna mimpi-mimpi di sisi angan yang bernyanyi dalam suara berlingkar kata bersahut tanya tapi hilang waktu dikembalikan jelita kembali di dalam diri Jelas aku berada di seluruh riuh persembahan tanyamu di dahi nazim kaugambarkan gegar rebana mengiring zikir mengalukan hadir Kota Kinabalu 29 Mei 2003

‘Ain di dalam Nur

Riadahmu antara lalang-lalang yang ditarikan cuaca rindu mengalir salju di seluruh tubuh tak terhenti jika akhirnya kauselak jendela mimpi tak ada sesiapa selain nazim yang berbisik di dalammu. dengarkan senyap sayap menjelajahi ruang raung yang kaudengarkan si tuli di perbukitan itu. dia adalah dia tak menjadi kau yang mendengar dengarmu, kaudengarkah dengarku seperti pandangku di dalam pandangmu tidak di mataku Di dalam nur di perbukitan nur 'ain menyelinap

Nur

Sampai ke hujung dini hari kudidodoimu antara tiada tidur di sisi kekasih tiada juga cumbu melainkan nazim bernazam membersit azam nur yang menyusur di seluruh alur mataku semulaku kepada waktu-waktu kubersiap dari silap Ya Rabb pohonmu di sisiku mendakap patuh utuh di akarmu

Sukma Hukama

Mahu kutuju liku leka yang bersatu dalam eram malam menyelam dasar kesasarmu. mahu kukembali pada noktah yang tak mungkin nama berbersit sinar yang nanar bersekutu di kamar mawar yang arif menjangkau makna aroma irama qasidah suara yang habis dihakis sinis diksi yang disulam hitam dendam. mahu kumulai episod nuzul diserambi dini hari mengungkap tidak sekadar rahsia alam yang memisteri jelaga kelam atau jernih di mata bercermin peri peribadi. mahu kutusuk belati melati di danau rindu dirapi sepi meneroka tenang kolam yang telah ranum dipanah cahaya agung tanpa leka sempat menghentikan kapal-kapal kertasmu berlabuh di muara sukma hukama Kau dengarkah siulan burung-burung bermahkota memberi cerminnya di alam mangkuk kalbumu?

Madrasah Peribadi Nazim

Umpamakan kenderaan di angkasa raya mimpi sebenarnya realiti dalam lapisan-lapisan bebayang menanti cahaya bulan dan bintang, kau dengar irama begini, nyanyi yang hanya didengar dalam bahasa zikir dan ratib tertib di mihrab, sesungguhnya seluruh tubuh berbicara tak terkecuali darah menjadi bara, itulah gas merentungkan akaliah yang jernih. dimensimu berjelaga dalam umpama-umpama yang mengumpan dangkal iri mencuri cari dari khazanah madrasah peribadi nazim

Nazam Kalbu

Umpamakan mutiara yang dituai di dasar lautanmu pantai sajian perenungan di sukma. ini nazamkalbu yang diciptakan dalam deru 'ain puncak hijau kata-kata orak langkah usia yang kian mengecilkan angkanya tapi yang tinggal tidak juga kenangan yang tak terbongkar Ya, kautusuk airmatamu di kalbuku yang putih hanya mengingati kembang bulan di saujana embun bercerita dingin, kautakluk irama sunyi dalam santunirama tumpah di mataku yang lama kauambil untuk sebuah pandangan yang selama ini telah kembali Terimalah jawapanku dari lelah yang ramah tumbuh redha dalam suratan akar yang tak akan berhenti yang patuh pada siurnya dalam kembara yang hanya mengerti tentang aku yang ragu Ini nazam kalbu dipahatkan di dahan pohon cinta yang dialunkan lewat sayap hud-hud rindu darimu

Dalam Halkum Hud-Hud

Kucari yang tiada bersapa. demi senyap wangilah deru 'ain yang menyulam salam nazim kunjungan malam ini. demi sepi kujulang roh nazamkalbu dalam halkum hud-hud yang rindu Kucari jendelamu, kekasih

Tertumpu Hanya Padamu

Tak mataku kupandang melainkan saujana yang tak pernah berbatas. tertumpu hanya padamu tak terkikis hakis setiap jelita yang berasmara tak mampu menakluk makna dari segala bahasa dan kata-kata. tertumpu hanya padamu tak terbongkar seluruh akar yang menjadi pohon di bawah perteduhan yang kau fikir tak mungkin aku. tertumpu hanya padamu Jendela bukan pintumu kekasih waktu kau panggil dengan jelas kukembali ke dalam kuku ke dalam urat dan darah. tertumpu hanya padamu

Bayu Sukma

Iringlah irama sukmaku. ada nyanyi yang tak terlepas dari halkum kurasai nikmat sentuhan bayu yang berlalu di pintu. sempatkah kausapa burung-burung biru sejak waktu bertukar sukarnya menjelmakan malu bersimpuh di atas sajadah Ujilah damaiku ini. memandang saujanamu ilham yang terbentang tak berbatas namun masih ada dondang di anjungmu melafaz subur zikir ingatkan kewujudan segara Sisi bayu sukmaku mengapung aroma nyanyi yang syahdu warnai kelam di hujung senjamu yang bakal menjelmakan kisah dan kenangan

Khabar Seluruh Dunia

Kau menutup pintu. jelaga kabus mula hampir dan tiada kata-kata lagi dari mata. mati. hatimu ingin pulang kepada pertanyaan dan kerisauan. para bapa yang berfikir akibat dengar yang bara. seluruh dunia kagum dan tekun menulis kebaikan dan juga keburukan.jiran tetangga bahkan negeri-negeri yang jauh. tentang kesusahan jiran menghulur murah hati menutup tabir rumah sendiri. anak-anak yang melarat tanpa rumah. merembes air mata pada puing rumah yang dirobohkan penguasa. matamu mati di hati. kau pulang ke lautan dasar. menutup pintu. dan mula menyelak tabir rumah

Sesudah Pulang

(kenangan: Sarjani Manaf) Sewaktu bertemu berulanglah riuh masalalu dalam kejapnya semalam yang saling diberi pengalaman Sewaktu berpisah sentiasa sepi menghampiri siang yang malam tanpa puncak merungkai nostalgia yang berkembang Pulangmu kejap di leluhur ingat suara menyimpan alam tak dimiliki sesiapa selain Dia

Berlabuh di Alur Tedu

(Allahyarham Seri Nanti) Teranyam rasa persaudaraan akrab tanpa batas memiliki kemahuan menyimpan serpih kaca-kaca kehidupan dicantum jadi cermin perjalanan ke wajah silam dan ilham menuju taman melabuhkan bahtera hayat di pelabuhan tenang menghadapi kebesaran Yang Maha Besar menemui kagungan Yang Maha Agung mengakrab kasih Yang Maha Pengasih. (ii) Tentang kerinduan, tabah dan kasih sayang anda rakamkan kemeriahan cipta seniman coretan kamanusiaan ada sapa riang menghiasi peribadi sempurna menjaring mesra tiada langkahmu songsang tiada bicara menyingkap garang selamba dan tenang dikasihi kerana ketulusan daya juang dan jatidiri menegakkan kebenaran menunjangkan pasak kewajiban ini kerana ummah ini kerana akidah yang gagah! (iii) Laung sunyi jelas pada riak ceria menggamit ehsan memaknakan jiwa hangat cita-cita galak pencetus bara anak-anak nusa bara seniman bara mubaligh muslim bertahta menatang padu akidah iman adalah impian bahagia adalah harapan relamu kembar bermuzakarah memecah se

Penghujung Ziarah

(Balasungkawa: Sanusi Ondu) Perjalanan yang tak lagi pulang menyambut salam kembara yang jauh dan pajang tak menyapa ingatan anda bersahabat dengan wajah yang tak tersentuh salam kita hanya terucap pada nurani sentuhan kita pada bacaan kata-katamu di lembaran kekasih Anda pergi rupanya sahabat yang diakrabi bahasa ungkapmu yang halus pada langkah yang tangkas di kamar cermin menjalar fikrah yang mengarah suratan waktu berperang di dadamu hanya pasrah tak terjangkau lelah dan sengsara tapi itu kudrat kekasihmu lebih dahulu menyatu di kalbu Ziarahku yang terakhir dalam genggam salam yang kejap menjadi jelmaan yang datang dan menghilang merasai kehilangan lebih dari segala kehilangan Kota Kinabalu 2 Jun 2003

Luka Sengketa

Sengketa disulam halus menakluk murni wargaku yang semakin petah berhujah hebat menghukum kebenaran kian angkuh melabuhkan emosi di hadapan pentas perdebatan perjuangan kemelut yang menjerut martabat waras walaupun terpaksa tersisa tersisih dari peta warga setia ii Sahsiah kemahuan seharusnya teradun kental telah memesong minda kosong wargaku diperbudakkan melerai korpus harmoni diperdaya dibaham sengketa menggajah juang sia-sia dalam talun gendang perbahasan sumbang, diriakkan lagi oleh wasangka tanpa alas mengunci benci memenjarakan kebenaran yang sesungguhnya benar memendam utuh dendam-dendam sejarah meruangi rentak retak menangguh kenyataan wawasan persaudaraan iii Mengenali jalur-jalur peta retorika kuasa lebih baik hidupkan jantung bangsa di tengah-tengah riak sengketa biarpun beza ketika berhujah kata kita junjung integrasi di bawah rumah demokrasi: inilah rumah harmoni inilah rumah makmur inilah rumah impian nilai keunggulan negara tercinta mempercayai kekuatan yang telah dipas

Sukma yang Kembali

- kepada yang pulang Suara rindu yang terkasima memandang tiada selain meneroka faham keajaiban dan keagungan iaitu waktu kupu-kupu jernih melintasi jendela Akrab semakin satu lagi melebur dibawa jauh sambil doa, syauq, mahabbah dan mawaddah melambai dari pintu yang fana

Aku

Si fakir yang kembara danau yang jauh di rimba angkasa yang teruji tanpa warna suara yang ingin pulang ke dalam halkum-Nya

Diri

Fana, tiada selain daun-daun lebur menghakis wajah dalam Wajah, nipis dalam ukuran detik-Nya

Getar Penyair

“ Tidakkah engkau melihat bahawa mereka ( para penyair) merayau-rayau tidak berketentuan hala dalam tiap-tiap lembah (khayal dan angan kosong)? Dan bahawa mereka memperkatakan apa yang mereka tidak lakukan.” (Asy Syu'araa: 225-226) Gemuruh luruh lesu di sisi diksi puisi-puisi saru menggocah rentak jejak penyair di bibir mensaksikan sempadan kemanusiaan menyisir sangsi ini silau cermin batini di sela-sela akar kelikir Ketika menunggu reda resah batini di hujung silau kasmaranmu para penyair taksub menjelmakan diksi samar menyeberangkan kepalsuan diri ke dalam irama lirik bahasa lenggang songsang menanggalkan kebesaran sebati berdiksi aroma Illahi bermuzika metafizika al-farabi bergetar menggelincir ke gaung sesat naluri ya Rabbi! Penyair, kelibat mamangmu sungguh-sungguh tiada rela undur meniupi takabbur! Relung kembaramu di semai benih yang pasti tak hitam tapi harum dan putih berisi kasih bererti jelas memantul nawaitu k

Bahtera Fardu

Antara saf-saf yang menakungkan renjis pasrah berlabuh bahtera fardhu di tengah samudera qiam menggelombang munajat membasuh kalbu merasa runduk mengerdilkan keinsanan pengutuh batini teguh: qiam ketika tegak ketika rukuk ketika sujud Munajat ini mewarnai citra naluri di pusat kebesaran takdim menjangkau ketajaman khusyuk membasuh alpa melayarkan bahtera ini ke horizon ketenangan samudera diri

Mengenal Makna

“Sesungguhnya solatku, ibadahku, hidupku dan matiku adalah untuk Allah Tuhan semesta alam” (al-An’am:162) Alangkah dekatnya antara pemisah garis ufuk wujud seperti baqa’-Mu dan fanaku tercipta langit dan bumi dan seluruh cakerawala membatas akal ke arah laku yang sentiasa malu; hendakkan tahu hingga jauh ke dalam mengenal makna kebenaran yang bulat dasar benar-Nya pada bintang-bintang berkerdipan menghias angkasa cerlang malam membenam kasih dan rindu pada bulan, matahari menembusi gelap menghadirkan pagi, memanas membesarkan fizika mahluk seluruh alam, sungai, laut dan seluruh marcapada tempat berpijak dan menenteramkan kebaktian utuh, hujan embun dan bisik mergastua kenalilah ketika subuh dan terkuntum melata ribuan bunga, tumbuhan, pohon-pohon mengagungkan kebahagiaan; ya-Rabbi, Wujud-Mu itulah memangku keterbatasan akal abdiku di bawah-Mu mengendara keterbatasan ke arah Abid, insan Rabbani meneroka alam tenang khusyuk mengenal makna

Iman

Hanya tasdik menguak pintu itu buat sukma yang masih keliru, menuai hak, membersih batil dalam semak di bawah Pohon itu hijau daun-daun sejak dahulu membiru; bermula daripada benih benar menilai sukma selepas iltizam berdiri perkemas khabar-khabar mulia mengisi lafaz dan laku menawan seluruh kabur Pohon itu kini subur

Madrasah Muhasabah

Masih juga kulembarkan bingkisan rahsia membacanya bererti memahami tetapi tetap tak pasti mendalami danau diri ketika menelusuri setiap rimba dan sungai batubatu, pepohon dan akar perjalanan hanya ditemui pengalaman akrab kenangan yang tak pernah mengamankan Hanya kerana lara ibuku dan guru madrasah kalburela segalanya berhijab mihrab pedoman Tuhan akan mencirikan makna rahsia sabda rasul akan memecahkan kelam di rimbanya Lara ibuku dan guru madrasah kalbu. biar khusuyu’ku diuji damaiku dilestari. muhasabahku memutih abadi

Rimba Raya Kehidupan

Cuba diam sejenak mendengar suara angin barangkali di situ ada warna jawab yang membius kata membasahi maknanya, cuba hiasi mimpi-mimpi dalam rindu bayu pada danau akan merasai damai nurani menghafal awan yang kembang Biarlah mendung berarak dan gerimis di damai danau menghening rimba masa lampau mendengar siul burung-burung duka, biarlah mereka berlalu dan danau ini akan menceritakan warna bulan tanpa kata yang sesiapa memahami Bukan hanya kenangan yang membesarkan kehidupan inilah kampung halaman kedewasaan denyut rimba raya daun-daun yang aman di sisi akarnya sendiri

Dialah

Acapkali gerak lidah dan kalbu mengucapkan keajaiban mencantas redha dari jauh yang mendekatkan kasih pasti melepaskan kekerapan dia meminta air doa yang mengalir dari cair dungu dan kelu, mahabbah itu mencambah wangiannya ranum makrifat sejak leluhur hingga tibanya senja dan kepekatan senyap. qiam meletakkan tanda itu isyarat menusuk menusuk seluruhku dan ada yang menyambut seperti kekerapan menyebut keajaiban-keajaiban Zat Kekasih: Dialah

Memperkecil yang Besar Memperbesar yang Kecil

Begitu selalu bangsaku waktu memilih yang maha benar kerap terperangkap jerangkap keliru melihat yang kecil tetapi membesar-besarkannya dipotong dikerat menghacur melumatkan anginpun menebarkan basa basi makna dalam fikiran sambil yang besar sengaja dilupakan dihijab basa basi perdebatan yang hambar yang ada dalam fikiran hanyalah perasaan Tanyalah pada selera di dadamu waktu mendengar jeritan dari dalam fikiran menepis bayang fobia mengangguhkkan segala kepalsuan Cuba kubunuh fikiran begini sambil di lapangan kebenaran tak mungkin terjadi seseorang dalam fikiranmu yang hanya tahu membisu menempiaskan bahasa api untuk hijau bangsa kian melayu menerjemah alpa perangkap ghairah bongkak

Mengkasyaf Cermin Diri

Kubuka hijab dan mengkasyaf cermin diri kudalam dirimu, satu. kaudalam diriku, satu. kita berada dalam kamar akar nur yang satu kita adalah lebur yang abadi di rumah diri memahami saujana mawar kasih anugerah Ilahi kita berada dalam madrasah peribadi yang cuba menjangkau nur-Nya menyusur akar fitrah insani

Berjalan ke Arah Cahaya

Ketika akhirnya berpuncak kegelapan seperti benang menarik alpaku sepantas kilat Bangun ini tak kupandang apa bahasa yang harus bersuara terpegun Merasa sentuhan bertandang

Diam Sepimu

Insan menabur benih di taman yang subur memelihara sesuai iklimnya zat-zat anugerah Tuhan mengalir di seluruh sosok sampai saatnya mencambah akar dan gerakan ke Langit, ranting-ranting, dahan-dahan daun-daun, bunga-bunga dan buah-buah akhirnya memberikan benihnya menyaksikan peredaran benih yang dicambahkan hingga akhirnya pulang di permukaan hukuman Ini benih yang disemai di taman yang sunyi iklim yang mengerti bahasanya: amanah insan yang menyusur alurnya pohon yang tega memakna akarnya sepi daun-daun sendiri ranting dan dahannya memusatkan ziarah-ziarah itu menyatu tamsil menggema daerah sunyi memakna diri agar tak sepi menyanyi agar saujana akal mencekal insani tega mengasmara Rindu meria Taman yang menyambut haru di sisi tak mungkin diriku tapi sepi-Mu

Melarik Malam

Peralihan musim dan cahaya senyap yang menyelinap yang ditangkap sunyi karibnya Sungai yang mengalir tenteram tenang membasahkan alam diri menyelami keajaiban dan keagungan kejadian Selain tiada sepimu milik tak sesiapa melupakan musim-musim wangi dan luruh daun suasana Menunggu silih ruang menyingkap tabir siang sambil tafakur mendekapi raudah zikir biarlah rimba malam menghijau di taman rindu yang disimpan

Titik

Jika inilah titikku terimalah seadanya mendengar nafasku memafhumkan bahasa leburnya Kebiasaanku barangkali di sini tak mungkin di sini mempertahankan yang benar selagi kehidupan harus digenapkan Keganjilan selalunya lumrah yang luruh antara wangi bunganya dan semua tumbuhan yang malu hijau menebarkan warna yang runduk Titikku jika di sini kuterima seadanya dan inilah sulaman salam tak mungkin berulang mendengar perbualan yang sengaja dijatuhkan hukuman

Pengembaraan Mahabbah

Saujana padang pandang ini perjalanan panjang menerokai hikmah yang sengsara ranum di taman asmaraloka wangi di ujana raudah Menikmati riuhrindu yang tidak berwajah dan tidak bersuara menyuburkan mawar mahabbah Kuterima getar pengembaraan ini padu sasaku tanpa ragu

Menterjemah Awan

Yang kaupandang setiap saat mengagungkan tinggi yang tinggi di balik nama yang kausebut setiap saat menjunjung agung yang agung di balik tirai yang kauperindahkan setiap saat mendiami sepi yang sepi di balik hijab Kucapai kau di sisiku sunyi

Melihat Cermin

Melihat cermin, apakah ada pada mata pada wajah akhirnya diusiakan masa akan datang Melihat cermin, hanya terpandang padang kecil menjanjikan perjalanan tak pernah menyesalkan hari semalam Melihat cermin, menulis pengajaran pada kulit wajah dan pandangan pada hati yang akan bertandang Melihat cermin, pulang selalu pantai inilah wajah peristiwa mendekatkan yang berlalu Selalu memberi rindu pada cermin membingkaikan satu tiada siapa hanya aku dan Aku

Syajaratul Mahabbah*

Memahamimu aku lebih kembali mengutip ranting daunan sepanjang jalan ke desa purba gemuruh pun mula reda selepas bulan buram berlalu langit menghulur tangan menyulam gerimis membasah kalbu Memahamimu aku lebih abadi menjadimu lebih berdiri mengayuh tenang berpedoman Nur-Nya meratip makna lebih pasrah dalam gelung rububiyah memahami syajaratul mahabbah lebih menebarkan akaliah Memahamimu aku lebih kerap berjalan mengendara sunyi yang bersembunyi memelihara tebaran insaf menyatu sambil berlalu dalam gerimis-Nya di bawah lampu bisu * (syajaratul mahabbah = pohon cinta)

Kunci

Kelam jalanan ini ada rahsianya Kunci menyerahkan terang maha kudus Kaki-kaki tak perlu meragui pinta murni perjalanan bistari Akan kelamkah lagi buta ini? Hulurkan kunci lalu kusujud memuji Ilahi Rabbi!

Menginai Cinta Malam-malam Ramadan

Membuktikan kesabaran meresapi cinta kudus malam-malam tegap rinduku membilang waktu menyanjung kasih agung melapang nafas memuji kebesaran mengadakan ruang bebas duduk bertafakkur di bawah langit-Mu Debu yang disucikan waktu begini membara mahabbah menyentuh naluri ingat kebenaran itu berada waktu khusyuk samudera tafakkur ini airjernih apakah yang mengalir di pipi? Obor cinta maha agung menerangi malam-malam menjelmakan dingin yang menusuk di kalbu ketenangan memeriksa keberadaan diri memandang alam yang tak terasa lidah melafazkan bait-bait zikir menzahirkan sunyi Dari segala masa yang menanti keutuhan insan mata hatinya menginai cinta terus bernafas berpedoman Kota Kinabalu 20 Ramadan 1422

Antara Kroni

Dari parlimen bicara ini tak bernoktah sampai di dalam rumah bagai racun yang perlukan vaksin tapi kroni bukan penyakit kerana semuanya berpunca dari akal yang nakal Di mana-mana bicara kroni hidup dan dihidangkan antara rakan dan sahabat terdekat mendodoi lagu agar tidur tak bermimpi jelaga duduk atas kerusi tanpa memikirkan apa kerana segala sudah sedia bicara atas bicara antara kroni penjelas cara walau pun terluka Andatila akal jika tak nakal kebahagiaan lebih bererti tak kenal mengenal jangan harap mampu dipuji dihina keji tetapi sebenar diampu dilampaui

Satu di dalammu Kekasih

- dari atas sajadah mahabbah Menelaah semula perjalanan semalam mengakrabi malam yang sering siang mata fikir menjelajahi cahaya rahsia bermahligai mendiami warnanya putih kalbu menempatkan rindu Tak pernah beralah meredah gelora sebenarnya gelombang malam membangunkan ingatan membersihkan sumber kepatuhan tunduk di bawah kebesaran Sambil mengucap syukur atas nikmat anugerah pemberian Tuhan kalbu tak harus dibiar mengusutkan ilmu kembang bunga fikir bersenyawa dalam zikir kasih untuk kekasih hijau abadi Menyatu dalam rindu gelombangnya menyeberangkanku memaut ratu tabah mendarat hakikat utuh sungguh-sungguh tak berkarat impian bak lautan terbentang memuncak bak gunung-gunung dan perbukitan luas saujana mata memandang bak lembah dan gadis hutan Satu di dalammu, Kekasih.

Di atas Pelamin Iman Kusebut Nama

Bicara tentang keagungan kehidupan tetap kuagungi Tuhan penganugerah rindu yang satu itu meski yang satu kurindu tetap kuagungi Tuhan penganugerah lafazkan syahduku mengagungi keagungan Bicara juga tentang keluhuran tetap kuagungi Tuhan pencipta rindu yang padu meski satu juga kurindu tetap kuagungi Tuhan pemberi rahmat di atas pelamin iman kusebut nama menginsafi kelanjuran tingkah kubiar melangkah Bicara tentang rasa yang hidup dalam denyut nafas kekasih biarlah lebur dalam terka kubiarkan hablur bersama cinta Tuhan, kuangkat pinta dalam diam pasrah bila kupercaya benar milikku kehidupanku Tuhan pemberi suluh

Merasa Rasa

Aku menanti biar berapa lamakah waktuwaktuku harus berlalu di hadapan pintumu ketika kita sudah terlalu mengakrabi aku lebur dalam cinta aku lebur dalam segala yang agung kepalaku lebur di dalamnya hatiku lebur di dalamnya uratsarafku lebur juga di dalamnya leburku adalah pengakraban yang kupercaya bersatu di dalammu di dalam keleburan dirimu saat itu. saat tak ada bahasa lain kecuali makna yang telah kita ertikan kelmarin, hari ini dan selamanya apabila benturan itu menjadikan kita lebih dewasa dan merasa purbanya merasa manisnya. merasa kebenarannya. merasa insannya. merasa sejatinya merasa rasanya

Ketika ke Rumah Petang

Memang petang ini kusinggahi membiarkan baju usia bertukar angkanya seperti juga esok atau lusa, aku harus teringat mama yang selalu menjahitkan baju-baju itu untukku Memang petang ini harus juga kukunjungi menyeri mawar kalbuku menyanyi lirik syahdu: kulihat pagi dan tengahari yang pergi aku ingat waktu subuh menyimpan cahaya ingat itu Petang ini aku bersembang di anjung kesederhanaan memandang sebuah malam menoleh pagi dan tengahari yang ditinggalkan menilai diri membuka bab subuh bermula di dinihari kubersimpuh mencari khazanah baru dari seribu erti perjalanan diri Petang ini aku menghamilkan sajak ini kembali ke akar katanya ke benih asalnya ke punca jadinya

Penjajahan

Itu penjajahan politik yang begitu sensitif tapi dikotakkatik menggejolak fikir para hipokrit Aku fikir penjajahan terlalu dikotakkatik hingga apapun dinobatkan jajah penjajahan terbit pada setiap liku yang dirasa Sampai di atas mimbar penjajahan juga turut tiba rupanya itu juga yang kudengar beberapa jumaat sebelum menyambut ulang tahun hari kemerdekaan ini Aku juga tak tahu apakah bicara ini juga akibat penjajahan yang merumahkan akal fikirku seperti orang-orang di luar sana yang tak peduli apakah yang berlaku di medan padang merdeka Ketika orang-orang meneriakkan 'merdeka!' apakah yang mereka laungkan? makna merdeka sudah berlalu kecuali sebuah merdeka baru!

Cemburu

i) Mati hati diracuni cemburu mati nanti dikapani cemburu ii) Cemburu: kaca pecah menghiris iii) Memburu cemburu di belukar terbakar ketemu bangkainya iv) Bangkit cemburu di perkuburan tak bernisan ketemu hantunya v) Cemburu itu menghantuimu! vi) Takziah!

Yang Hilang dan Yang Tak Hilang

yang hilang wang yang hilang percaya yang hilang amanah yang hilang benar yang tak hilang dusta yang tak hilang muslihat yang tak hilang publisiti yang tak hilang lontar batu ada yang tersembunyi! Kompleks Tabung Haji Sembulan Kota Kinabalu 29 Ogos 2001

Memerdekakan Persoalan

Walaupun tak ada jawapan tak mungkin pertimbangan ketika insan bertopeng kejujuran Merdekakan persoalan daripada peperangan kekalutan bom pemusnah ada di dalam fikiran Kemaskan persiapan peperangan menghancurkan kebatilan lihat nanti adakah kemerdekaan Mungkin terselamat tak terkorban peluru-peluru persoalan mencacatkan pertimbangan akal Sesat lagi di hutan peperangan persoalan demi persoalan yang tak bersempadan penjajah nafsu mula meluaskan jajahan Di kalbu

Memerdekakan Rintihan

Mengapa jadi burung insan mampu memegang kepaknya yang ada pada kepala Menjaga kesedihan mengapa duduk di dahan-dahan lepak di bawah lampu keyakinan Menjadi anak kecil dewasalah seterik mentari wajah hitam terisi kekuatan Buang yang hilang mengapa pulang dalam rintihan kepak membawa singgah dahan ke dahan Nanti! siapakah yang terus hilang dahan tempat bertenggek atau fikiran yang menghitam?

Akar

Katakanlah mereka berkata: akarmu menjalar memperdaya akal jangan relakan terbinanya jurang meruangi sulit sangka merobek-robek jantung cinta biarlah mereka berkata apa saja asal akarmu tahu di mana liku-likunya sambil memahami teguhnya pohon dialami bermacam ragam musim, dengarlah mereka berkata yang didengar jangan hanya dusta yang diucapkan jangan cuma kata-kata mengapa tak bertanya: siapakah penghalang keutuhan akarmu? berilah ruang kata-kata menyantuni maknanya matabatin mentafsir kebijaksanaan menterjemahkan sekian rasa menjelaskan peribadi sasa, katakanlah apa saja kerana kata-kata adalah suara yang tak pernah beku dan tak mungkin pasti dipercayai, kata-kata adalah suara yang menghantar akal ke daerah sejarahnya menyaringkan manis dari cairan hempedu, katakanlah mereka tahu bersuara lihatlah pada nilai dan maknanya tahu di manakah pokok dan di manakah akarnya di situlah berdirinya akal mencekalkan pengertian biarlah mereka berkata kagumilah wajahmu di atas cermin sendiri Ikatan

Mengajar Itik

Apa-apa saja boleh kecuali belajar berlari aku melihatnya juga terkedek-kedek serupa itik setiap pagi di skrin tv Apa-apa saja boleh kecuali belajar terbang aku melihatnya juga terkapai-kapai mengusai kepaknya setiap hari di hadapan putrajaya Apa-apa saja boleh kecuali belajar berenang aku melihatnya juga tercungap-cungap mengajar anak-anaknya yang sudah tenggelam Apa-apa saja boleh kecuali mempelajari pengalaman aku selalu melihatnya mengulang peluang dikepung dan terkepung dunia yang kabut

Memerdekakan Kesedihan

Kepada kerajaan kegembiraan merdekakan kesedihan rakyatmu! Mereka berperang untuk kesedihan mereka gugur untuk sebuah kegembiraan kerajaanmu Hujan berguntur gempita banjir lembah duka bah meluluh seluruh rasa Kepada kerajaan kegembiraan merdekakan rakyatmu yang dibunuh kecewa ditembak dukalara.

Sebuah Monolog Diri

i. Tak mungkin jelas dalam pawana kata dalam rakam hikmah membahasakan kesilapan jika pencak silat yang bersarang tak mampu mempertahankan ujian bahkan ujana kemaafan kucuba menangkis tikaman demi tikaman waktu yang tajam mengasak kejengkelan dan dendam menghitam entah tiba-tiba saat itu aku duduk semula di atas kedaifan sejuta malang sambil merakam setiap bait muhasabah di tingkap gelisah ii. Kemahuan itu diwarnakan segerombolan tipu helah memasung waspada dan kedaifan kutahu di mana langkah yang harus kumatikan mampu kumengelak tikaman-tikaman kerana di tanganku adalah taming sari yang mendedami putih kebenaran aku akan gugur dan mati kerana itu lihatlah darah ini, mengalirkan segala-galanya batu hati, pekak dengar, ego api iii. Kematianku ini membawa pergi semua mimpi-mimpi ngeri, menenggelamkan kapal daifku yang memperkasa celaka, menghalang makna persahabatan ziarahlah ke dalam ketiadaanku kali ini sebagai doa muhasabah, menjulang maknanya igau sejahtera, emas

Sajak Seadanya Buat Bangsa

Kumahu wang berhenti dibeli menilai kuasa dan mudah lupa Kumahu kuasa itu semula mulia memayungi sesat jelata Mungkin hanya cita-cita impianku dipimpin bijaksana nihil huluran haloba Kerana perkasa bukan berkuasa kerana haloba tak mungkin bijaksana kerana sesat di rimba noda Jangan mudah alah wang tak akan dibeli lagi semasa hayat mati

Kealpaan untuk Suatu yang Kumula Kenangi

Bahasa yang tak pernah kufahami harus kueja dan membacanya diam-diam ketika kulontarkan pandang ke arah jendela komuter kaca-kaca ingatanku bertaburan bersama cebisan air hujan yang pecah Mari ulangi sentuhan bahasa puncanya pada kebiruan langit dan lara laut meskipun antara pandangan pantas warna daun ditangkap kelajuan angin petang tak sempat berbisik: mengapa kealpaan untuk suatu yang kumula kenangi Selalu terjadi? Komuter KTM Shah Alam – Bank Negara Kuala Lumpur 14 Februari 2001

Berilah Diammu

Kutahu diammu malam: sepi menyembunyi api sudah mungkin melamar embun tapi samar-samar kudekati fikrah diri apakah manusia harus semuanya sama di atas landas sangka menghiba Kutahu diammu malam: sunyi semakin berbunyi kudengar itu. ketika masuk ke dalamnya membacamu atas keakraban jauh yang akrab makin mendekat kepada tanya atau jawabnya Berilah diammu itu

Juara

Jangan lagi ceritakan haruslah jaguh menentukan juara di dalam gelanggang Hala akal dipertemukan diri dinihari membiasakan renungan ledak kehendak itu biarkan Di hadapan itu jalan di belakang itu jejak ditinggalkan memanggilku tak kudengar sahutan Sahabat sepermainan segelanggang kata mari kembali di sisi bijaksana menganyam hasrat menimang jagat raya Rimba teknologi biarkan masih disimpan sopan santun berbudi indah berbicara berdiplomasi Mengangkat martabat dari lidah hati penyair hebat jangan bermain kata hanya Ajukan sengat madu hakikat

W I R I D

Rimba telah menjadi tubuh yang menenggelamkan kata merimbun aksara cinta. Menakluk teluk hayat memunggah sepi yang tak pernah selesai hadir dan berulang. Berlangsung kekerdilan di dalam gaung agung, kesatuan yang tak terbongkar, keindahan yang berselubung hijab di hadapan sungai waktu melepaskan daun-daun wangi mengalir jauh ke negeri-Mu. Kota Kinabalu 28 April 2003

Menerima Masa Lalu

Lebarkan senyapmu daripada menjadi lahar yang muntah dan meliar, menjalar ke seluruh akar luahan kalbu yang haru dan pilu. Kau kejar bayang-bayang gentar yang memudar segar hujah memugar ladang amarah. Kau memandang saujana menjadi semakin tiada apabila sinar sirna. Apabila cahaya maya. Apabila segalanya membeku yang menyatu pada batu akal yang tak kenal cekal mencurah cemas di belukar gusar. Sambil degil menerima masa lalu seadanya sebagai warung menjaja bohong. Kau terima bayang-bayang yang tak pernah kelihatan tapi merasakan itulah kesungguhan dan kebenaran. Beluran 17 April 2005

Dunia Luka

Luka itu tak akan memberimu isyarat bilakah ia bersuara melainkan nikmat cuma ketika diam membuka takjub hening. Kau hanya memandang riang burung waktu pagi entah apakah pulangnya seperti saat itu? Perjalanan ini terlalu biasa untuk diuji awalnya sehingga mengenal bila bulan mengambang dan mentari dilitupi mendung. Kita adalah dunia kecil tak mungkin terbanding dunia di dalam diri yang selalu menguja hanya Dialah yang lebih sempurna. Pustaka Iqbal Nazim Kota Kinabalu 24 Jun 2005

(mengenang 1998)

Di Sebuah Taman Tadika Mempelajari Kata A-I-B Tak kupercaya kau tak membacanya huruf demi huruf dan mengungkapkan kata juga memahami erti dan makna Tak kupercaya kau tak memahami akibat kau berkata dan membuka pintu malu di hadapan anak-anakmu Kami tak perlu bertanya kau berdiri sendiri dan memandang anak-anak di sekelilingmu yang saling memalingkan muka Atau berkata benar kami memahami erti fitnah tanpa pengadilan menghukum itu salah Kami gelisah dan kecewa sekeliling membiarkan bicara melulu menabur aib di lidah besimu Ini tunjang yang utuh tiada apa-apa kepada kami hanya melihat keadilan terjadi Tanpa penghinaan tanpa penganiayaan tanpa kezaliman Ini bumi Tuhan kita mesti kembali kepada fitrah kita akan kembali kepada-Nya Dan kita tiada apa-apa walau sekecil kuman kita bukan siapa-siapa di sisi Keadilan-Nya

Merenung Hijau

Kejap menakluk warna antara ribuan daun pohon-pohon merimba belantara hatiku hinggap di sana bersayap senyap mencarimu di mana kudengar sahutan dari alun yang basah salam belantara diam memelihara sunyinya akar-akar yang bersabar menerjah bumi menjelajah taklukan empayar garam, air, udara mengeramkan kehebatan tumbuhan junjungannya, mengalir dan mengalir keajaiban demi keajaiban di segenap urat, kulit kayu dan dahan-dahan baru tunas mengemaskan puncak renungan warna bernyawa Sungai Tembeling Taman Negara Pahang 10 Oktober 2000

Politik Wang

Dusta pengungsi politik berjubahkan suara demokrasi demonstrasi wajah yang hangus dibahangi api pembohongan nafi tak kenal wang sebenarnya kunjungan biasa di meja-meja adu domba Wang adalah darah menggerakkan arah politik pentas keangkuhan bagai sungai yang melebar ke dunia singgahnya sengketa jatuh serta bangun halang dan cabar mencanang rakus hujah Bangunlah perkasa dan mendabik dada mempelbagai politik demi wang atau wang untuk politk berpanjangan tak mungkin putih bagi hitam menenggelamkan kapal kesatuan yang dilambung gelora maruah serta kepercayaan

Tak Kufikir Pak Menteri

Tak kufikir pak menteri selesa duduk mewah memandang keliling dinding gambar raja dan pemimpin perdana memandangnya, setiap ketika memerhatikan gelagat menjawab pertanyaan-pertanyaan dan janji-janji pilihan raya Pak menteri membahui tanggungjawab besar dengan hanya memiliki pasangan-pasangan deria dia hanya punya satu rasa dan satu hati menjadikan jati diri menggeledah resah bertahun pada bilik-bilik gelap di belakang pejabat fail-fail usang dan kabinet-kabinet besi menyimpankan seribu satu janji Tak kufikir pak menteri mengerti demikianlah berapa ramai yang mahu memahami perih payah pak menteri setiap hari menyusun kerja demi pertiwi tunggak wibawanya memandang saujana dan kemiskinan rakan-rakan sering bertengkar membentangkan tingkah sering juga membiarkan orang lain mengisi diari betapa payah memimpin negeri Maka sering kudengar tohmahan untuk pak menteri menjadi dalang kehancuran harmoni bangsa menjadi wayang kehidupan pura-pura penuh pembohongan belaka kudengar semua tapi tak kufi

Di Sisi Badai

Badai semalam di dalam rumah siapakah membuka tingkah di hujung rimba Menyatakan soalan dijawab pada suatu hati menuai badai dalam gerimis malam Anak-anak peribadi bermandi mencari suci memulia diri di sisi badai selembar sinar di kamar

Mawar Tak Kan Layu

Tak hanya luka mencahaya taman kehidupan tak akan terhenti tanpa ragu menyemai benih mimpi menanti tumbuh pulang di stesen sepi Di situkah penantian terhenti? pujangga sudah terlara membara benih mimpi-mimpinya ketika angin dingin tiba membawa kata-kata Khabar yang menjalar ke seluruh riuh meski hijabku menakluk sabar tabah memaku pedih, mengakrab jarak masih kejap mendekap Mawar tak layu di halaman rumah

Tak Berupaya

Tak berupaya menulis sengketa hanya kulukis rasa berkata membuka mekar segar pagi dan manja senja Tak berupaya melakar cinta hanya kuhias wangi sepi memagar diri bernyanyi di bawah pohon sunyi Tak berupaya mencabar sabar hanya kususun bahasa indah meneguh kata-kata memelihara yakin di rumah batin Tak berupaya menakluk sinar hanya cita kusimpan di dada menghamparkan sajadah cinta berserah pasrah dan berusaha sasa

Wakil Rakyat

Ketika kami mengulangi permintaan mereka hanya memandang dari dalam sedang kami mengeja-eja harapan dan menghafalnya Seperti orang lain mereka juga mewarnakan kehidupan menyusun payah dan meletakkan sengsara di dinding memelihara kebencian sering bersahabat ketika malang Wakil rakyat tempat kami mengadu nasib dan meminta suara kami menyeberangkan mereka ke benua jangka membina rumah Malangnya kepada kami segala sengsara segala sengketa dicanai dipersembah api membara kami dipimpin dan hidup membaca huruf-huruf dusta Tiada atau ada dua kata yang menyatu pertanyaan siapakah yang memimpin dan dipimpin siapakah yang memilih dan dipilih Siapakah yang bernama wakil siapakah yang bernama rakyat siapakah yang tak henti-henti berharap Saat ini, lakaran perdebatan dan peperangan saraf khianat fitnah atau tak ada taat setia rebah pekerti musnah hati budi dan hilang timbang rasa Saat ini, mereka kembali mencari diri mencari kehilangan yang mereka lupakan mengembalikan akar menegakkan pohon impian

Embun Muharam

Cahaya berkaca hinggap di puncak pengap gerak liuk senyap dan sejuk duniamu diamlah alam menenggelamkan era silam mengeram langgam sepanjang malam amalku Saat ini terkuak hijab rindu akrab alam sejuk menelusur baur padu meriuh sunyi, memanjat munajat dan bertempur dalam lingkaran embun yang berakar di rumah daun Agar tak gugur saat dinihari mulai ditinggalkan

Akar Percakapan

Seketika, sulit menjadikan akar sebagai punca selagi belum mengenal apakah makna punca apakah makna akar Antara tawa atau basah di celah pandang saujana laut riwayat akar melingkari tubuh kalbu tak pernah siap digubah walau pun akhirnya ada penyudahnya Kau dengarkah suara ketika mengungkapkan kenangan? masa silam adalah kolam rahsia yang berakar pada rindu bukalah citra itu, adakah akarnya? Kita sering didekati rahsia percakapan akar kehidupan, awan dan langit kedamaian walau pun ada duka, ada suka walau pun ada suka, ada duka: ada gusar berlabuh Ayuh kayuh perahu makna yang bakal ditemui di sisi gelombang tabah, adakah akar-Nya?

Hijrah Diri

Inilah hujung pertemuan yang bermula menunda maaf nostalgia mengharukan Mengapa henti di puncak jika malu kembali mengambil cermin di laman rumah kita nan biru Inilah hikmah rahsiasantun yang kubela basah rindu di kalbu tak kubiar banjir Hijrah diri mengarca malam tak kelam ditenggelam silam meski belum kubersiap ke belakang

Lumrah

Yang lumrah itu tak pernah berhenti tak ada pelabuhannya umpamanya ketika tersesat di hutan kesilapan Jika kembali di puncak bukit peribadi jangan humban resah ke gaung sesal air mata juga tak akan menenggelamkan gusar Kembalilah ke rumah kata asal mengungkai renungan sehimpun babak sebak dalam jilbab yang menutup rahsia fikir renangilah tenang kolam ilham riak rasa menggamit insaf dan menilai diri kembali mentafsir tamsil di celah-celah rimba kehidupan Yang lumrah tak akan sudah tak ada perhentian

Menghidu Pencuri

Kau tak pasti menghidu hari malang masuk ke dalam rumah, membersihkan apa saja – kaca mata, kasur, selipar dan kereta menjaga rumah menjadikan kau ramah kepada setiap tingkap dan pintu tapi kau tak dapat menghidu datang tetamu Keesokan harinya bau mulai kau jamah melekat pada mata dan bangkai sesal hanya tahu menyalahi pencuri bagaimana menyerkup pencuri? Adalah tetamu yang tak pernah melengkapkan adab adat bangsa tak juga mahu melengkapkan cintanya kepada dirinya

Impian Bintang

Aku masih bangun malam. menulis puisi ketika tinta fikir deras meluncur dan membuka jendela rumah diri, di hadapan rumahku jeraya beraspal tua retak seribu dan menakung sejumlah liter air yang tak termampu disukat hanya sewaktu aku kembali ke sini merasai sesat di desa sendiri. hutan getah dulu mempekatkan dunia bocahku kerana di celah senduduk bersama ayah masuk, membelah sepi pagi sebelum kembali menjamah jamu ibu di desaku lokasi citra bocah-bocah yang hilang dari peta purba, hijau sawit dikeringati orang lain yang asing mereka memiliki segala di sini juga air mata dan gigih bekerja Segala mewarnai malam ketika kubangun dan menulis puisi, kubaca suara anak-anak merdeka tentang bab-bab kemelut lama di sela-sela selut dan rawa-rawa laut negeriku, tak habis mewah kerenah, pergelutan impian berhutan dan berapi dan membakar hutan bahagia, demi impian bintang

Di bawah Lingkaran Musyaf

Aku kecil mengepal kebenaran yang kuimbau di celah-celah kebesaran, keagungan basah nafas kesucian antara lingkaran ukiran-ukiran musyaf mengindahkan kecantikan antara lingkaran artifek-artifek purba muzium Di dalam syahdu dan kental makna dan jalan luas terbentang cahaya dari lorong kalam Ilahi, aku rebah tapi kupelajari lestari murni menghayati pelabuhan yang jauh sejati cinta kudekapi Bayt al-Quran & Muzium Istiqlal Taman Mini Indah Indonesia Jakarta 1997

Potret Istana

Mumpung segunung cinta meledakkan laharnya aku sudah mempotretkan gelombang-gelombang sejarah purba. artifek yang tak dikata tapi diperaga menelanjangkan kenangan. demikiankah senimanmu bertahta di dalamnya sebuah istana sejarah seribu gembira dilayarkan Bahtera? Kami dari sejarah masa kini mencatatkan besar kamar, patung-patung dan lukisan-lukisan terkenal bersamamu: Sarina atau pertarungan dua saudara yang bersemi bersamamu. cermin seribu wajah sering mengimbas ketika sendiri sebenarnya bersama-sama dilayarkan tanpa nakhoda! Si demok itu mungkin terlalu melucahkan, tapi indah bukan busananya melainkan seni yang menghijau selalu berada dalam kamar penggemar. Mungkin kamera di tanganku telah lelah dan buku catatan mulai terkulai melepaskan sahaja pandangan di padang luas pohon-pohon rimbun dan kawanan rusa yang bebas itu Istana Bogor Oktober 1997

Datang Kembali

Menemui kembali diri di Jakarta sahabatku mendekah ketawa. sungguh, rindu memulangkan segalanya digari kenangan dan mimi-mimpi lama Lama kuterpedaya usia malang dijejeri luka yang kureka Di Jakarta kalbuku membiru semakin hampir kalbu yang kukurung kepercayaan mulai rimbun di halaman Syukurku meski jauh sentuhan anak-anak dan wanita yang kucintai Lama setia yang kau hamili nanti abadi datang kembali Jakarta-Kuala Lumpur–KK Oktober 1997

Akar Cahaya

Sesuatu yang berada di merata mana akan berpindah dari hujung pandang ke dalam pandang yang rendah sebelum tiba ke dasar pandang teratas Apakah yang dipelajari daripada pandang? misalnya ketika memilih warna; bagaimana warna belum dapat menenggelamkan buta meletakkan nilai makna warna dengan seutuh sempurna di atas pandang telus ke medan cahaya Walaupun singgah di pelabuhan pandang jauh mentafsir citarasa cemerlang masih tak sampai jua menilai nikmat itu masih tak mampu menjana makna hikmah itu; selesaikah di sini? tanya kalbu: pandang rupanya harus tertumpu hanya pada satu nikmat itu padu di situ utuh mengasuh butaku. Demikian cahaya berada dalam lapisan-lapisan akar yang jauh di sana

Azam

Membuka pintunya setiap awal tahun apa yang kupandang di hadapanku kocakan warna sambil mengombak lautan kenangan menyampaikan ujaran makna lukisan silam Masih betah mengumpul sesal mengulang-ulangkan kesilapan biarpun telah berbeza antara malam dan siang bergegas melangkah ke tahun baru tersipu malu dan seperti biasa – menanti hari-hari berlari meninggalkan pengalaman bekas yang membangun rindu, bersilih ganti tidur dan bangun mengunyah rasa tak pernah punah malah sasa perkasa Hutan malam dan cahaya bulan yang hadir tenggelam azam membuka pintunya menarik usiaku masuk ke dalam sementara berkata kubertanya dan menunggu jawabnya menjadi tajuk perbualan kami yang tak pernah lelah apa lagi mengaku alah

Jatidiri Bangsa

Berhadapan taman madani yang harus ada di dada bangga adalah nikmat jati diri bukan semata-mata keharmonian yang harus ada di mata kemerdekaan adalah cahaya kepaduan bukan semata-mata kepuasan Kemakmuran bermakna keceriaan pada tubuh kemerdekaan bermakna urat saraf pada tubuh yang dimiliki bukan saja untuk saat ini sewaktu pemantapan minda membina sebuah bangsa membangunkan anak-anak jati yang bernegara melangit impian dan cita-cita melakar kekal warna biru di angkasa dan hijau bumi bertuah jernih mengalir air sungai dan cantik ombak laut menakluk gunung-ganang gemilang permai dan asyik mengorak langkah bersantun mempasakkan akar jati diri mara menggerakkan gagasan murni Tubuh tanah air ini beruratsarafkan perpaduan bangsaku padu mentautkan akar budaya dan agama yang menjalar di celah-celah dahan dan belukar kemakmuran diutuh sepadu umpama aur dan tebing dierat sejati umpama kuku dan isi dirungkai serangkai umpama mata dan hati ditaklid

Dangdut Ya!

Jangan menyangka andalah yang benar andalah yang besar sehingga kata-kata menghias popular kalangan kami anak-anak kurang ajar seumpama petualang kehilangan ujar Ujar kami dimamah, dikerat-kerat oleh prasangka ujar kami dibiar bernanah, membuncit sarat oleh omelan dan fitnah jangan menyangka andalah yang gagah sehingga bicara tidak berisi madah Dangdut ya, gelombang tenang duniamu seperti seladang, dangdut ya, ya-ya anggukmu seperti seladang, dangdut ya, ya-ya akurmu seperti seladang, dangdut ya, ya-ya ukurmu seperti seladang, dangdut ya, ya-ya muslihatmu ah! Seluruh indera mendakap keangkuhan budi akan alahlah nanti jika alah oleh naluri bersiap ingat, kita anak-anak bermartabat!