Menerima Masa Lalu

Lebarkan senyapmu daripada menjadi lahar
yang muntah dan meliar, menjalar ke seluruh akar
luahan kalbu yang haru dan pilu. Kau kejar
bayang-bayang gentar yang memudar segar hujah
memugar ladang amarah. Kau memandang saujana
menjadi semakin tiada apabila sinar sirna.
Apabila cahaya maya. Apabila segalanya membeku
yang menyatu pada batu akal yang tak kenal cekal
mencurah cemas di belukar gusar. Sambil degil
menerima masa lalu seadanya sebagai warung
menjaja bohong. Kau terima bayang-bayang
yang tak pernah kelihatan tapi merasakan itulah
kesungguhan dan kebenaran

Reader Comments



Kemala berkata:

Keahliannya ialah dalam epik dan sejarah, namun suaranya juga mulai mendekam pada yang Islami. Sejak kapan dia berubah? Agaknya selepas dia faham makna cinta sejati. Api cintalah yang bernyala di mata Umar al-Farid dan Iqbal, tapi cinta dan cinta saja tak bererti andainya tidak dicantas duri dan ranja yang menutup kebenaran. Apakah bezanya temaram bulan di langit dan bayangan bulan di danau? Saya pernah megnasuhnya dulu, mungkin kini dia sudah melalui denainya bersendirian...

[Tanggapan Sekilas - Zikir-Groups 2003]!

Blogger Templates by Blog Forum

Daftar Puisi