Ziarah Ulang Tahun

(Datuk Haji Shuhaibun Yussuf
- Budayawan Sabah)

Barangkali kerana anda
kerap menyebut nama kami
ke dangau budayamu menggamit hati
rindu ini lain ketika ziarah terakhir
di hari ulang tahunmu, ayahanda

Anda tetap riang
keakraban begini sentiasa merakam
kenangan tak mudah diterjemah seadanya
anda tak juga pernah sunyi
dari riuh isteri yang mengerti
dan anak-anak yang menyayangi

Dangau budaya ini rumahmu
mesti riak yang ria
ada duka bersembunyi
tak sesiapa memahami
sambil ketika kepada kami
anda pun bercerita meranum seni

Tidak mengapa
biar inilah rumah syurgaku
aku bahagia bersama seorang hawa
yang mendiami derita dan suka
aku bahagia dengan biaya pencen kuterima
rezeki sayembara dari pihak berkuasa

Katamu, aku hanya insan biasa
bakatku barangkali inilah satu-satunya
antara budayawan negara
disaingi dalam pancaran buta
dikenangi seadanya memperbodoh
langkahku yang tua

Anda diam di dangau budaya ini
mengeram rakaman fikrah
menghayatkan kreatif citra kehidupan
anda melihat jauh ke hadapan
wawasan negara yang berwarna warni aneka
anda membayangkan sejahtera manusia
anak-anak berbangsa maju beriltizam mulia

Anda bercerita karenah manusia
di sana sini berbaju tipu helah
katamu, hayati perangai ayam serama
yang cantik, mahal tapi banyak cakapnya
di hadapan anak-anak
ada gandingan ayam serama
satu selalu berhahuha
satu selalu menyimpan cita-cita gila

Ingat anak-anakku
jauhkan dari berada di belakang mereka
yang bersopan kala bicara
sejarah mereka penuh noda dan dosa
agama dijadikan pentas
seperti ayam jantan tika berkokok
ekornya bergelomang tahi!

Pesan ini pesan bestari
katamu, sebelum pergi abadi
kami gelisah walau tak pernah kering gusi
telatahmu mencipta rindu yang tersendiri
anda idola kami, ayahanda
sebelum berangkat pergi mencatat nama
kehadiran ziarah ini
salam kasih anak-anak kembang bungamu
di dangau ini menyimpan ilmu
kehidupan kami tuju.


Dangau Budaya
Papar

Comments

Popular posts from this blog

Bunyi Bulan

Kumpulan Puisi Sinar Sirna

Sajak Orang-orang Gendut