Sajak Anak-anak Belantara

Mereka mengerti susah payah
mengakar berzaman
purba nenek datuk setebal laman alamnya
hafal tak sedikit bahasa dan makna
deru angin, dingin hujan dan terik mentari
belantara itu dunia
tanpa peduli globalisasi
belantara itu katamu
muzika mergastua
kicau burung yang pergi dan pulang
waktu petang
segalanya bersahut, bersentuh dan bersatu
di bawah bumbung yang satu
semampunya
seluruh zuriat yang membesar
membiak, mewarnai belantara kehidupan
tanpa kenangan

Mereka harus terus bernafas
berhadapan dunia
yang sempadannya kertas dan cip
menyimpan identiti diri
bangsanya, agamanya
kampung halamannya
di belantara sana
yang memandang khuatir
tentang segulung kertas dan cip
yang membenarkan
mereka berjalan di dunia lain sebebasnya

Mengisi warna kemerdekaan
mereka kurang mengerti
tentang dunia tanpa sempadan
kampung kabilah atau dasar langit terbuka
mereka kurang memahami tentang ledakan
teknologi maklumat
ketika kita tekun berbicara secara maya
apa lagi mengetahui MSC
pusar bestari yang diagungi
jangan bicara tentang Kuala Lumpur
bahkan Kota Kinabalu itu berapakah KM jaraknya
mereka menggaru kepala

Siapakah anak-anak itu
ketika mengingat anak-anakku
dan anak-anak anda
setiap hari bercakap tentang apa sahaja
mendapatkan apa sahaja memandang dunia
merdu suara meminta apa sahaja
dan diberi apa sahaja
dan diberi apa juga pinta mereka
dan melihat anak-anak belantara ini
yang biasa memandang lambat matahari bertambat
menyimpan tangis, tawa
gelisah kecewa
yang hadam
tak ingin mengira malam-malam berulang
makna dingin dan
bahang mentari berulang
berkata sampai bila
bersapa mesra
bersalam akrab
bersahut khabar

Mereka hanya melihat peluang
bersapa di hadapan
dan terus bertanya sambil ada angguk
dan geleng setiap kali
antara faham dan tidak mengerti
dalam gelora duka
lara, gundah yang biasa bersatu
sampai bila berakhir tidak tahu
mereka menunggu
kembali ke punca desa, belantara negerinya
bersempit di perut kereta pacuan 4 roda
meredah sungai, hutan, denai
dan apa lagi...


Paitan, Beluran
7-10 Jun 2005

Comments

Popular posts from this blog

Bunyi Bulan

Kumpulan Puisi Sinar Sirna

Sajak Orang-orang Gendut