Kemerdekaan: Manifestasi Menganyam Wawasan

Yang ditunjangi akar kemerdekaan ini
adalah pohon-pohon keluhuran
bertaut budi berperi
bersama setia menjulang kehijauan
dan warna-warni wangi bunga-bunga pertiwi
dan dengan persetujuan inilah
kemerdekaan mengakrabkan persefahaman
ras, percakapan dan kepercayaan

Kita telah didewasakan oleh permusuhan sesama
sendiri walaupun musimnya silih berganti
didewasakan oleh kelemahan yang disedari kini
selepas tiga setengah dekad
bertekad mengharungi makna bebas
bersama azam, bersama iltizam, bersama setia
bersama pertautan rasa, bersama perkiraan
debar, bersama benih wawasan dan impian,
bersama membina bangsa
harus digeruni dunia

Laung kemerdekaan diulangi setiap detik di dalam diri
membangunkan setiawangsa yang dididik
impian lama sebuah waspada
dan cita-cita berbisik
kemerdekaan membawa kita mengenal kebal
cega mempersembah utuh yakin para juara
menjahit koyak batin yakin terhadap bangsanya
menafikan yang benar, mengiyakan yang bukan
inilah ironi yang merisik retak jiwa bulat
bangsa kita yang telah merdeka berdaulat.

Ertilah makna merdeka
sekali lagi: merdeka! sekali lagi: merdeka!
harus jadikan payung atau kenderaan jiwa
tempat berteduh membenih kesungguhan
bersedia melayari kembara
darinyalah peribadi berperi
berani menyayangi, berani menyaingi
berani menganyam cita-cita tinggi

Comments

Popular posts from this blog

Bunyi Bulan

Sajak Orang-orang Gendut

Kumpulan Puisi Sinar Sirna