Lirik Fajar Cinta

Kita berada di dalam keakraban cinta
menatang jihad mukmin
mengendara gelombang nafas di mayapada
meranumkan doa, meriwayat sujud
mencanai waspada setiap langkah usia

Dengarkanlah saatnya takbir itu dilaungkan
lafazkanlah takdim itu bersama keinsafan
hayatilah taqdis itu tatakala niat mencapai restu
yang memasuki rongga pintu makna keAgungan-Nya
yang memancarkan cahaya
menembusi seluruh ceruk pembuluh darah
ranum nikmah di pohon kalbu yang merah
menyalakan bahang kesempurnaan kehidupan manusia
membara pasrahnya, menyerah
pada Allah...
belayar dalam bahtera qiam
bertakarrub dalam keheningan tahajjud:
dekatkah nyaman iman itu di sisimu
akrabkah genta takwa itu di kalbmu?

Raung yang kedengaran tatkala merentasi samudera amal
terdengar di dalamnya pekikan cinta
di dalamnya lagi mengalir bahang kasih
di hari-hari yang tersirat berkah inilah
kita perlu menyempurnakannya
melengkapkan kesempurnaan itu
bernafas dari dalam kesempurnaan Tuhan
mendekatkan kita kepada keagungan Tuhan
kita rela runduk di bawah Quddus-Nya

Hari demi hari kita bangun meraikan ceria wajah
menikmati kesempurnaan ibadah
membangunkan ukuwwah Ummah
adalah takwa yang terjalin kerana kesempurnaan
menjalinkannya
adalah ceria yang terwajah kerana kesempurnaan
mewajahkannya
adalah kemenangan yang terbit kerana kesempurnaan
memenangkannya

kita rumpun mahluk Tuhan yang akur
meraikan hari-hari makmur menyatakan rasa syukur
kita meraikan fajar mulia melafazkan rasa nikmah
menjalin rumpun-rumpun abid
memupuk kerukunan amanah Allah
membangunkan minda manusia bermartabat hebat
mengendara masa hadapan teguh utuh

Di pintu fajar cinta ini
menyerlah sinar syiar mentafsir makna warna
menterjemah makna abrar manusia yang patuh
menyimpul teguh takwa
membimbing peribadi dan mukmin
ke lurus hala

Comments

Popular posts from this blog

Bunyi Bulan

Sajak Orang-orang Gendut

Kumpulan Puisi Sinar Sirna